Saya tak rajin untuk menuntut ilmu seperti Saidatina Aisyah, saya tak selembut Saidatina Khadijah, saya tak setaat Saidatina Fatimah . Tapi tak mustahil untuk saya dan ' anda ' cuba untuk jadi seperti mereka. InsyaAllah.| Jangan sesekali kita lupakan Al-Quran, takut nanti Al-Quran lupakan kita, siapa nak tolong kita di akhirat kelak? | Doakan mereka yang sedang berjuang mati-matian di Palestin sanaa, insyaAllah sama-sama kita berdoa. | A true dreamer is the one who will never stop dreaming and works very hard to make their dream comes true...
Sunday, 29 January 2017

Cerpen : Tanggapan

Cerpen : Tanggapan

      Nama aku Hanis. Aku bukanlah seorang yang suka menilai seseorang daripada luaran tetapi kalau bab lelaki ni aku sensitif sikit. Ada saja benda buruk yang lelaki buat, aku akan tak suka keseluruhannya. Ikuti kisah aku.

“Hanis, kau dengar tak cerita ada budak lelaki baru masuk kelas kita?” Tanya Syarifah. Syarifah ni merangkap kawan baik aku dekat kolej ni.

“Takda pula. Awat? Lelaki ka perempuan?”

“Lelaki.”

     Hari itu, ada seorang pelajar lelaki baru masuk daftar ke kelas aku. Pada mulanya, memang budak itu bukan main baik lagi. Cakap sopan-sopan, datang kelas pun tepat waktu dan dia pernah tolong aku dalam projek eksperimen subjek kimia aku. Sejak dia tolong aku tu, bukan main lagi setiap hari aku cakap benda yang sama kepada Syarifah[u1] .

“Sya, si Talha tu baik betul. Aku respect dia Sya. Bukan senang nak jumpa lelaki yang suka tolong orang.”

“Ye Hanis, iye. Dah beribu kali aku dengar benda yang sama keluar daripada mulut kau.”

     Hari demi hari, cukup seminggu. Talha tiba-tiba dah menunjukkan belangnya. Dia selalu datang kelas lambat. Selalu tak siapkan tugasan yang diberi pensyarah. Lagi satu benda yang paling aku tak suka ! Dia suka sangat usik aku. Macam-macam gelaran dia panggil aku. Aku jadi meluat dan tak suka. Talha ni jenis lelaki yang nakal dan tidak menjaga pergaulan. Aku pula jenis perempuan yang agak menjaga pergaulan dengan lelaki tetapi apabila aku lalu sahaja sebelah Talha, dia suka sangat membuat aku terkejut dari belakang. Bila aku ada di tempat yang agak jauh daripada dia, nampak sahaja aku bukan main lagi jerit nama aku. ‘Hanis !’ ‘Hanis!’

     Pernah sekali tu, dia jerit daripada kompel lelaki bila dia nampak aku jalan menuju ke kawasan perkarangan kompel. Malu betul aku apabila ramai lelaki tengok. Jatuhlah standard aku sebagai muslimah.

     Suatu hari di makmal fizik, aku sibuk menyiapkan laporan eksperimen. Tiba-tiba Talha bersuara,

“Eh, korang! Bulan puasa nak dekat dah. Nanti kita pergi bazar Ramadan satu kelas nak?”

“Mana boleh pergi sama-sama lelaki perempuan. Mula-mula pergi bazar, nanti entah ke mana pulak melencong. Jaga ikhtilat boleh?” Aku mula bersuara kepada Talha dalam keadaan tegas.

“Kenapa pulak tak boleh? Bukannya nak pergi peluk-peluk pun.”

Aku senyum sambil menggeleng tetapi selepas itu aku terdengar suara perlahan Talha.

“Weyh, ikhtilat tu apa?” Tanya Talha kepada ketua kelas aku.

“Ikhtilat tu pergaulan antara lelaki perempuan. Ha kau, kan dah kena.”

“Alah, bukan nak pergi buat apa pun.”

……………………………………………………

     Setelah hari berlalu, perkara yang sama berulang. Tiba-tiba ada seorang lagi pelajar lelaki mendaftar masuk ke kelas aku. Kalini, aku memang malas ambil tahu tetapi dengarnya dia ni bekas pelajar sekolah agama.

     Lelaki yang baru masuk daftar ni namanya Amir. Dia memang baik dan sopan sahaja. Memang bukan seseorang yang konon berlakon macam Talha. Aku pernah nampak Amir menundukkan pandangan dia apabila pelajar perempuan membuat pembentangan di hadapan kelas. Sesekali sahaja dia  mengangkat muka untuk melihat pembentangan mereka. Aku terpesona !

“Sya, hang tengok Amir tu, baik ja kan?”

“Haah, baik je. Dia tak nakal macam Talha tu dan aku jarang nampak dia bercakap dengan perempuan.”

“Itulah, aku macam respect gila dekat dia. Jarang jumpa lelaki macam itu.”

“Tak habis-habis dengan respect kau tu.”

       Suatu hari, sewaktu aktiviti mentor-mentee. Aku dan Syarifah ditugaskan untuk memberi usrah untuk perempuan. Pihak lelaki punya usrah pula diasingkan tetapi aku ada mencetak beberapa helai kertas mengenai penerangan tentang ikhtilat. Aku telah memberikan kertas-kertas tersebut kepada Talha.

“Nah Talha, ini ada sikit penerangan pasal ikhtilat. Aku harap kau baca dan cuba fahamkan.”

“Terima kasih Hanis. Aku akan baca.” Talha mengangguk dan patuh.

………………………………………………..

       Sejak aku menegur Talha berkenaan ikhtilat. Talha lebih mengawal pergaulannya. Dia tidaklah 100% menjaga tetapi dia tidak terlampau melebih-lebih seperti sebelum ini. Aku juga kerap nampak dia ke surau setiap kali aku ingin menuju ke surau sebelum Maghrib.

      Talha juga pernah membantu aku dan ahli kumpulan aku dalam projek kelas bahasa Inggeris. Pernah sekali itu, pensyarah pernah marah kumpulan kami dengan sangat teruk dan tidak mahu menerima projek kami kerana beberapa kesilapan tetapi disebabkan Talha mempunyai hubungan baik dengan pensyarah tersebut, dia berjaya memujuk pensyarah itu untuk menerima projek kami semula. Aku masih ingat lagi dia sanggup menolong walaupun kerjanya sendiri belum siap.

      Sejak itu, tanggapan aku terhadap Talha berubah. Walaupun dia seorang yang nakal dan tidaklah pandai dalam bab agama, namun dia sangat baik dan suka menolong orang di sekeliling.

………………………………………………….

     Suatu hari, sedang aku melihat gambar-gambar di Instagram, tiba-tiba aku ternampak akaun Instagram Amir. Aku ternampak Amir meninggalkan komen-komen di gambar-gambar selfie perempuan. Dia mungkin tidak memuji gambar-gambar tersebut tetapi gayanya komen sangat membuatkan perempuan tertarik untuk berbalas-balas komen. Aku juga terdengar cerita daripada kawan-kawan kelas aku yang berbeza kelab dengan aku. Mereka mengatakan bahawa Amir sangat aktif dalam Whatsapp Group dan kerap bergaul dengan pelajar perempuan daripada kelas lain. Aku sendiri pernah melihat perbualan-perbualan mereka.

      Sewaktu minggu teater di kolej aku, Amir telah menyertai kumpulan teater. Malam persembahan teater, aku pergi untuk menyokong rakan sekelas tetapi hormat aku kepada Amir terus hilang apabila ternampak Amir berpegangan tangan dengan watak heroin dalam teater tersebut.

“Mana lelaki yang aku respect selama ni Sya? Kenapa dia jadi macam tu?”

“Kenapa yang kau nak marah sangat?”

“Yalah, tengoklah dia Sya ! Kononnya kita ingat dia tunduk pandanganlah bagai. Kita siap gelar dia budak jaga ikhtilat kot !”

“Sekarang kau nak salahkan siapa?”

“Tak, aku tak salahkan siapa-siapa. Hmm, salah aku?”

“Kau yang salah. Siapa suruh kau letak expectation kepada manusia? Siapa kita ni nak expect orang tu macam ni macam tu. Kita takkan pernah kenal manusia. Tanggapan tu datang bila kau sendiri yang nak anggap sesuatu macam itu. Kau tengok kes Talha. Mula-mula kita sendiri yang nak anggap Talha tu baik sebab dia buat itu buat ini tapi lepas dia dah tunjuk perangai sebenar dia, kita cakap dia mengarutlah bagai. Tapi lepas dia dah tolong kita, kita letak lagi tanggapan yang dia dah baik apa semua sedangkan kita tahu memang dari awal dia suka tolong orang walaupun dia nakal. Kita nampak sendiri dia suka tolong orang sebelum ini, tapi kita sendiri yang nak anggap dia mengarut sebab perangai nakal dia.”

“ Macam Amir pulak, kita baru nampak yang dia jarang sembang dengan perempuan. Kita nampak dia tundukkan pandangan tapi kita tak nampak macam mana pergaulan dia dalam media sosial atau pergaulan sebenar dia. Mungkin dia sebenarnya tengah cuba nak berubah, siapa tahu?.”

“Betul cakap hang. Aku terlalu cepat letak expectation kat someone.”

“Dalam hidup ni, apa yang kita nak nampak depan mata kita, itulah yang kita akan nampak. Macam kita nak nampak keburukan Talha je, sebab itulah kita tak pernah nampak kebaikan dia. Macam Amir pulak, kita nak nampak kebaikan dia je, sebab itulah kita tak pernah nampak keburukan dia sampai dia aktif dalam media sosial pun kau boleh tak perasan sedangkan dah lama dah dia follow aku dalam insta.”
“Ha?! Dia follow kau? Kau tak cerita pun kat aku.”

“Buat apa aku nak cerita benda tak penting macam tu. Bukannya aku approve pun request dia. Ish, kau ni! Kan dah lari tajuk.”

“Hehehe. Maaflah, aku melawak ja. Terima kasih sahabat sebab ingatkan aku.”

“Terima kasih jugak sebab buat aku nampak benda realiti macam ni. Baru aku boleh ambil ibrah daripada kisah kau ni. Lepasni, kita kena pandang semua orang baik baru kita akan kerap nampak kebaikan orang dan takkan pandang rendah kat orang lain. Biar kita nampak buruk kita je baru kita sedar diri kita ni banyak kesalahan.”

“Baik Sya, in sha Allah. Jom pergi usrah, dah lewat ni.”

“Jom !”

Thursday, 26 January 2017

Cerpen : Kerana Hijrah dan Pengorbanan Part 2

     Bagi yang belum membaca part 1, jangan gelabah. Klik sini

     Sudah setahun berlalu, aku  masih belum menyambung pengajian aku. Aku masih sibuk menyimpan duit yang tidak pernah mencukupi. Aliya pula sudah lama menyambung ijazah sarjanamudanya. Sudah lama dia tidak berhubung dengan aku, mungkin sibuk dengan pelajaran dan dakwah. Bagus Aliya, jangan jadi macam aku.

    Sekarang, aku bekerja di pejabat pos. Pagi itu aku pergi ke kerja macam biasa. Bertugas dan melayan kerenah pelanggan yang ingin membayar bil, mengepos barang dan sebagainya. Tiba-tiba,

“Assalamualaikum bro, muka baru. Kau baru kerja ke? Nampak macam muda lagi je.” Sapa seorang pemuda yang berbadan kurus dan rambut yang agak tidak terurus. Umurnya mungkin sebaya aku.

“Waalaikumussalam, ye bang. Saya baru je kerja sini dalam tiga bulan. Takdelah baru sangatkan? Ada apa boleh saya bantu?”

“Nah, tolong aku packing barang ni. Sambil tu sembang-sembang ah. Bukannya ada pelanggan pun. Berapa umur kau? Kenapa tak sambung belajar?”

“19 tahun bang. Em, saya memang nak sambung belajar tapi lepas kumpul duit dulu.”

“Kebetulan ! Aku pun 19 bro. Bro, kau tengok aku. Hidup aku rileks je bro. Tak perlu susah-susah fikir nak kena sambung belajar. Kerja, dapat duit aku enjoy.”

     Aku sekadar mengangguk kepada pemuda tersebut. Malas aku nak layan. Tiba-tiba bunyi mesej masuk. Zulaikha menghantar mesej mengatakan dia rindu pada aku yang kebelakangan ini sibuk dengan kerja. Aku segera membalas mesejnya.

“Senyum-senyum je bro. Awek ke? Aweklah tu kan. Kau pernah ‘sentuh’ dia?”

     Terkejut aku mendengar soalan dia. Mulalah kenangan dosa aku yang pahit dulu kembali dalam benak fikiran.

“Kau fikir apa bro? Kalau kau tak pernah ‘sentuh’ dia bro. Kau rugi. Hidup kita ni kena enjoy. Rugilah kalau kau dah awek tapi tak pernah ‘sentuh’ dia. Kau tahu aku, ni tengok tangan aku. Berapa banyak dah awek aku tarik dengan tangan aku ni. Aku pernah rasa semua jenis perempuan bro. Daripada yang muda sampai tua. Kau pernah rasa?”

“Bang, salah ni bang. Hidup kita bukan semata-mata nak enjoy. Kita ada Tuhan. Kita ada pegangan. Kita ada agama. Melalui agama kita tu, kita dah disarankan untuk berkahwin kalau nak berasa nikmat bersama dengan pasangan tu semua. Salah bang kalau buat hubungan macam ni. Abang bukan sahaja memusnahkan hidup abang, bahkan abang juga memusnahkan hidup gadis-gadis tu.”

“Kau ingat dengan kau cakap macam ni kau boleh berasa nikmat tu dengan pelbagai perempuan? Tak boleh bro. Kita ni nafsu satu ja. Nafsu kita untuk benda tu ja bro. Rugilah bro. Rugilah kau muda lagi dah tolak ‘nikmat’ macam ni.”

     Pemuda itu lantas membuka beg sandangnya. Sewaktu begnya dibuka, aku terbau satu bau yang pernah aku bau. Bau ni sangat menakutkan aku. Ya! Bau ini ialah bau yang aku pernah terhidu sewaktu aku pernah melalukan perkara keji dengan Zulaikha dulu.  Ya, Allah ! Bau apa ini. Kenapa bau ni datang kembali. Aku tak boleh ya Allah. Aku mula terbayang semula perbuatan aku kepada Zulaikha. Aku mula terbayang kata-kata lelaki tadi. Arghh!!

………………………………………………….

    Esoknya aku membuat keputusan untuk berjumpa dengan Lutfi, sahabat baik aku yang agak alim dan pandai menjaga diri. Aku perlu berjumpa dengan Lutfi  untuk membimbing aku. Aku sudah tidak boleh bergerak sendiri !

……………………………………………….

     “Assalamualaikum Daniel ! Sihat? Apa khabar iman?” Mesej daripada Aliya masuk ke skrin telefon aku.

“Waalaikumussalam. Sihat je. Iman mana ni? Iman tu adik aku. Dia okay je kat sekolah dia.”

“Kau ni apahal? Aku maksudkan iman kau. Iman dalam hati kau tu bukannya adik kau.”

“Yelah haha! Aku tahulah. Gurau je. Iman aku okay je. Aku dah bagitahu Lutfi dah.”
“Wah! Yeke? Dia cakap apa? Dia boleh tolong kau kan? Mestilah dia boleh tolong kau sebab kau kan sahabat dia.”

“Dia pesan kat aku jangan buat lagi. Kebelakangan ni keraplah jugak kami keluar makan sekali memandangkan dia tengah cuti sem. Kau pun tengah cuti sem kan?”

“Haah, aku tengah cuti sem jugak. Alhamdulillah, baguslah kau tak seorang sekarang. Risau tau aku dekat kau ni. Takut kau terulang balik.”

“Takdelah. Aku takkan ulang. Kau risau ke? Aku tengok lama menghilang betulke kau risau?”

“Aku mungkin tak tunjuk kata aku risau tapi aku selalu doakan kau tahu? Sweet tak?”

“Sweetnya kau. Bolehlah lepasni kita kahwin.”

“Kau tak habis-habiskan. Zulaikha tu nak letak mana? Ajak aku kahwin konon. Eh, tak boleh dah! Aku sebenarnya nak bagitahu kau. Aku dah nak bertunang.”

“What?!! Bertunang? Apa ni lama hilang tiba-tiba datang nak bertunang. Lelaki tu okay ke? Kau jangan pilih lelaki sembarangan.”

“Lelaki tu baik gila. Dia rajin ke surau. Bila aku nak pergi surau selalu nampak dia. Dia bilal kat surau kolej aku jugak. Hensem tu taklah tapi dia dulu budak sekolah agama. Dia approached aku dulu. Minggu depan aku dah bertunang.”

“Lelaki sekolah agama pun tak semestinya baik. Tak rasa cepat sangat ke? Kau dahlah baru Tahun 1”

“Benda baik tak boleh lambat-lambat.”

     Aku mengeluh. Apa boleh buat? Aku harap Aliya bahagia. Aku bukannya cemburu. Entah mengapa terasa tidak sedap hati. Aku pun sebenarnya dah banyak berubah. Aku dah mula rajin pergi solat berjemaah dekat masjid tapi tak bermakna aku baik gila. Kalau Aliya tahu aku rajin ke masjid jugak mesti dia akan cakap benda yang sama. Aliya ni pun satu, tengok luaran saja. Geram pulak aku.

…………………………………………………

     Setelah beberapa bulan, aku berjaya membuat permohonan ke sebuah institusi pengajian. Aku hanya perlu menunggu masa untuk mendaftar masuk. Zulaikha? Hmm, perhubungan aku dengan dia biasa saja. Tiada perkembangan. Kami kerap bergaduh kerana Zulaikha selalu mencari pasal dengan aku setiap kali aku sibuk bekerja. Aku bukan tidak mahu membalas mesej-mesej dia, aku sibuk dan penat. Tetapi setiap kali perkara macam ni jadi, dia mesti akan mengungkit perbuatan aku yang keji dulu terhadap dia.

“Oh! Dah sedap-sedap dapat aku, sekarang nak buang aku pulak?!”

     Itulah ayat yang sering kali diulanginya. Aku penat mental dan fizikal. Aliya pula, sejak bertunang tidak lagi berhubung dengan aku. Ya, tunang orang mestilah dia perlu menjaga diri. Bukan tunangan orang pun dia perlu menjaga pergaulan.

………………………………………………..

     Suatu hari, aku mendapat khabar daripada Aliya bahawa dia telah berputus tunang kerana tunangnya itu meninggalkannya untuk berkahwin dengan orang lain. Tunangnya merupakan pelajar tahun akhir. Lebih tua daripadanya. Aku dah agak, lelaki itu bukan boleh dipercayai. Kesian Aliya, aku tak tahu cakap macam mana. Susah-susah kau jaga diri yang semahal mungkin, senang-senang sahaja jatuh hati kepada lelaki macam itu.

“Kalau dapat kat tangan aku mamat tu, aku bunuh dia!”

“Bunuh? Kau nak buat dosa membunuh pulak sekarang?”

“Takdelah aku gurau je. Kau kahwin dengan aku jelah nanti.”

“Kau tak habis-habiskan. Tapi kalau Zulaikha kahwin dengan lelaki lain dan kau dah tiada siapa. Aku kahwin dengan kau.”

      Aku tahu waktu itu Aliya hanya sekadar berkata. Mana mungkin perempuan seperti dia mahukan aku yang sudah tidak teruna lagi.

…………………………………………………..

     Hari itu, aku gaduh besar dengan Zulaikha.

“Kenapa Zu tak faham abang, Zu? Jaga diri Zu. Jangan contact dengan lelaki sembarangan.”

“Kau kan dah malas nak layan aku. Suka hatilah aku nak contact dengan siapa pun. Berapa ramai lelaki pun.”

     Sejak kebelakangan ini, Zulaikha sering menghantar screenshot perbualan mesej dia dengan seorang lelaki daripada universiti yang sama dengannya. Lelaki itu cuba memikat hatinya. Bersungguh-sungguh lelaki itu. Aku takut perkara yang sama akan berulang kepada Zulaikha kerana mempercayai lelaki seperti itu.

“Zu, tolongla faham. Abang sibuk cari duit, abang mintak maaf. Jangan buat abang macam ni. Jangan cakap dah dengan lelaki tu!”

“Apa hak kau? Kau dah sedap-sedap dapat aku sekarang kau nak apa lagi? Aku dah takde apa nak bagi kat kau. Kau dah ambil semua yang aku ada. Jadi suka hati akulah nak buat apa pun dengan lelaki lain. Aku dah rosak. Biar rosak je !”

“Zu, please baby. Jangan cakap macam itu. Zu berharga Zu. Abang mintak maaf. Jangan buat macam ni.”

     Beginilah hidup aku setiap hari. Cuba menjaga hati dia. Menjaga emosi dia agar dia kuat dalam kehidupan dia. Aku berharap sangat dia tidak akan mengulang perkara lama. Aku tidak kisah berapa kali dia hina aku kerana perbuatan aku dulu. Ungkitlah sebanyak mana pun aku tidak akan biarkan dia jatuh lagi.

     Sekarang aku telahpun menyambung pengajian aku dalam bidang seni bina. Aku juga bekerja separuh masa untuk mencari duit bagi menampung hidup Zulaikha. Sejak dua bulan lepas, Zulaikha disyaki menghidap kanser hati. Aku terpaksa mencari duit lebih bagi perubatan dia. Kakak Zulaikha sudah tidak mempedulikannya. Mak Zulaikha pula semakin tenat kerana sakitnya. Kadang aku berasa seperti ingin memberontak. Ingin hidup seperti lelaki lain. Lelaki lain yang sebaya dengan aku tetapi apakan daya, aku tidak punya hak berbuat demikian. Aku perlu bertanggungjawab atas segala perbuatan lalu aku. Aku perlu berkorban.

………………………………………………..

      Setelah dua tahun berlalu, pagi itu, aku mendapat berita yang amat menyedihkan. Aliya telah pergi meninggalkan dunia. Dia telah terlibat dalam kemalangan kereta. Pada mulanya, dia tidak cedera apa-apa tetapi malam itu, dia meninggal dalam tidur. Mengikut siasatan, berlaku pendarahan dalam organ dalamannya. Sebenarnya sepanjang dua tahun itu jugalah dia tidak pernah berhubung dengan aku. Seingat aku kata-kata terakhirnya,

“Daniel, sejauh mana pun kau pergi. Sehebat mana pun kau suatu hari nanti. Jangan lupa pada Allah. Allah dah tetapkan jalan pengorbanan buat kau untuk latih kau jadi seseorang yang berjaya. Aku percaya satu hari nanti kau akan berjaya jadi manusia yang hebat dalam agama dan hebat dalam perniagaan.”

……………………………………………….

     Tahun demi tahun, aku berjaya membuka sebuah syarikat kecil untuk perniagaan aku sebaik sahaja aku menamatkan pengajian. Aku juga banyak menyertai pasukan sukarelawan bagi membantu mereka yang memerlukan. Zulaikha? Setahun sebelum aku tamat pengajian, dia juga telah pergi dijemput Illahi kerana kansernya yang tidak dapat diselamatkan. Sekurang-kurangnya dia berjaya bertahan dengan sakitnya selama empat tahun dengan perubatan yang dia terima.


     Aku tak menyesal dengan apa yang telah berlaku bahkan aku bersyukur Allah meletakkan aku di jalan ini. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa susahnya aku untuk berhijrah pada masa yang sama berkorban dan bertanggungjawab. Aku yakin Allah menjemput orang-orang yang aku sayang dengan sebab untuk aku memulakan kehidupan baru aku. Terima kasih ya Allah. Pesanan aku, setiap manusia itu diuji dengan berbeza-beza tahap tetapi tak bermakna kau mempunyai tiket untuk memulakan dosa-dosa besar. Aku lihat zaman sekarang, orang sudah tidak peduli lelaki perempuan keluar lepak malam-malam sekali. Duduk bersebelahan sekali macam tidak ada apa yang akan berlaku. Tidak! Jika kau berfikiran begitu, lihatlah aku. Dahulunya aku juga fikir begitu. Setakat lepak sekali, duduk bersebelahan sekali tidak ada apa-apa tapi akhirnya? Sama-sama berfikir. Doakan aku kuat sampai bila-bila.